Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, penggunaan bahasa semasa bersosial dalam wahana tersebut juga mempengaruhi cara mereka berbahasa dalam dunia realiti.

 

“Penggunaan bahasa Melayu yang betul dilihat semakin di­pinggirkan dalam mengharungi dunia globalisasi. Mereka (ge­nerasi muda) lebih menekankan kepantasan mesej yang mahu disampaikan berbanding penggunaan bahasa yang betul dari sudut tatabahasa, susunan gaya bahasa berunsur estetika apatah lagi efek kepuitisannya.

“Selepas 60 tahun negara mencapai kemerdekaan, tidak ada sebab mengapa rakyat negara ini masih tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan kita dengan baik sama ada secara lisan mahupun tulisan,” katanya yang berucap dalam majlis pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 peringkat kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementeriannya, Datuk Seri Alias Ahmad.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas.

Sementara itu, Mahdzir turut menyatakan kebimbangan menge­nai sejumlah besar remaja tidak fasih lagi menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

“Saya percaya bahawa arus pe­mo­denan semasa bukanlah penghalang kepada usaha me­martabatkan bahasa Melayu,” tam­bahnya.

Beliau berkata, sebagai warganegara yang cintakan negara dan perpaduan, setiap rakyat perlu mempertahankan kelangsungan bahasa kebangsaan.

Jelasnya, bahasa Melayu dilihat terus berkembang bukan sahaja dalam ruang kepompong alam Melayu tetapi juga di seluruh dunia apabila program Pengajian Bahasa Melayu ditawarkan di universiti-universiti di China, United Kingdom, Belanda, New Zealand dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, Abdul Adzis berkata, gerakan Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang Oktober ini akan memfokus masyarakat bukan Melayu dan pihak swasta.

Antara program yang akan diadakan katanya, termasuk Eks­presi Puisi Berlagu yang me­nyasarkan penyertaan universiti swasta, Pentas Ekspresi 10 minit melibatkan kakitangan swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) serta Pidato Terbuka khusus kepada pelajar bukan Melayu.

 

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/bahasa-rojak-berleluasa-dalam-media-sosial-1.533466