Peperiksaan bermula pada pukul 8 pagi dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik diikuti Bahasa Inggeris dan Sains esok.

Pada Rabu calon akan menduduki antaranya kertas Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam manakala hari terakhir peperiksaan pada Khamis melibatkan kertas peperiksaan bahasa.

PT3 dimulakan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Di PUTRAJAYA, seramai 1,526 pelajar tingkatan tiga termasuk dua pelajar kurang upaya menduduki peperiksaan itu iaitu dari 11 sekolah menengah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Putrajaya dan Sekolah Alam Shah.

Pengarah Pendidikan Putrajaya, Roaini Jaafar berkata, pelajar kurang upaya itu masing-masing dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 11 (1) dan SMK Putrajaya Presint 18 (1).

Di MELAKA, daripada 13,165 calon yang menduduki PT3 di 85 pusat peperiksaan hari ini, 12,929 orang adalah calon sekolah kementerian.

Di KUANTAN, Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail berkata, seramai 22,682 calon menduduki ujian itu di 220 pusat peperiksaan dengan 107 daripadanya ialah pelajar berke­perluan khas antaranya cacat akal, pekak, rabun dan cacat fizikal.

“Daripada jumlah itu, 18 orang adalah calon persendirian. Pepe­riksaan hari ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Di IPOH, Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris berkata, sekolah kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) masing-masing mencatatkan jumlah calon tertinggi iaitu 31,707 dan 1,550 orang daripada keseluruhan 35,718 calon di 272 pusat peperiksaan.

Di KOTA BHARU, Jabatan Pendidikan Kelantan dalam satu kenyataan memberitahu, seramai 30,674 calon menduduki PT3 di 257 buah sekolah yang menjadi pusat ujian bertulis tahun ini.

“Seramai 24,329 calon adalah dari sekolah kementerian dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) manakala calon sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) 5,866 orang, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 290 orang dan calon persendirian 189 orang,” jelas kenyataan itu.

 

http://m.utusan.com.my/pendidikan/video-425-251-calon-menduduki-pt3-1.536003