Naik taraf dan bina sekolah baharu di Sarawak bermula awal tahun depan

 
 
SHARES625

KUCHING: Naik taraf dan membina infrastruktur sekolah baharu di Sarawak akan bermula tahun depan, mungkin pada Februari atau Mac, kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Beliau berkata berdasarkan data dikumpul daripada Jabatan Pendidikan Negeri, Sarawak mempunyai kira-kira 1,020 buah sekolah yang dianggap sebagai daif.

“Dalam mesyuarat akhir kami dengan kerajaan Persekutuan (Kementerian Pendidikan) mereka bersetuju untuk membenarkan kerajaan negeri memperuntukkan RM1 bilion pada tahun depan untuk kerja naik taraf dan membina infrastruktur sekolah baharu,” katanya pada sidang media untuk mengumumkan Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak (SELES) 2017 di sini, semalam.

Foto Asmah Adenan

Beliau berkata sekolah berkenaan juga akan dilengkapi makmal sains, dan menurutnya kebanyakan sekolah rendah di Sarawak tiada kemudahan itu.

Berhubung simposium itu, Manyin berkata Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri dalam  menganjurkan SELES 2017 buat julung kalinya dari 23 hingga 25 Okt ini di sini.

 

Beliau berkata 1,200 peserta dijangka menyertai simposium itu dengan kumpulan sasaran ialah ahli akademik daripada universiti dan kolej tempatan serta guru dari seluruh negeri ini.

“SELES ini unik kerana ia berobjektif menjadi platform membincangkan kurikulum dan amalan dalam kelas dan mendampingi masyarakat melangkaui institusi pendidikan untuk mewujudkan persekitaran bagi bahasa Inggeris digunakan secara meluas tanpa mengancam survival bahasa  kaum-kaum peribumi,” katanya.

Manyin  berkata diharapkan menerusi  simposium itu, pelbagai input akan diperoleh menerusi perbincangan dalam kalangan ahli akademik, pengamal, pelbagai pihak berkepentingan dan masyarakat untuk membantu merumuskan strategi  bagi menambah baik pendidikan bahasa Inggeris di Sarawak.

https://sarawakvoice.com/2017/10/21/naik-taraf-dan-bina-sekolah-baharu-di-sarawak-bermula-awal-tahun-depan/