Noorazura Abdul Rahman
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

SEBUAH jawatankuasa kabinet khusus untuk memperkasa Bahasa Malaysia (BM) akan dibentuk supaya bahasa itu diutamakan dalam setiap sektor di dalam negara ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jawatankuasa itu

 

akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memudahkan setiap arahan dan perlaksanaan ke arah memperkukuh BM.

 

Katanya, kertas kerja mengenai perkara itu akan dibentangkan dalam tempoh beberapa minggu lagi untuk mendapat persetujuan jemaah menteri.

"Antara yang akan dibincangkan dalam jawatankuasa ini kelak ialah mewujudkan akta penguat kuasa undang-undang yang akan diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang selama ini hanya menjadi tempat rujukan bahasa dan menasihati.

"Sekiranya ia diluluskan di Parlimen, DBP boleh mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang tidak mengutamakan BM, contohnya apabila berkunjung ke laman sesawang, BM mesti nombor satu diikuti bahasa lain.

"Jika ada pihak yang ingkar selepas diberi teguran, maka DBP mempunyai kuasa untuk mengheret mereka ke mahkamah,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Wacana Intelektual Bersama Pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Darul Aman dan IPG (K) Sultan Abdul Halim di IPG Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, kementeriannya akan bertindak sebagai urusetia jawatankuasa terbabit yang akan membabitkan kerjasama beberapa kementerian lain bagi melancarkan pelaksanaannya.

Katanya, antara kementerian itu ialah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

"Seperti Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di bawah mereka ada majlis bandaraya dan sebagainya, arahan boleh dikeluarkan secara terus supaya setiap papan iklan mengutamakan BM.

"Begitu juga dengan kementerian lain, mereka akan melaksanakan setiap keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa ini dengan arahan TPM,"katanya.