Penglibatan aktif murid seko­lah dalam aktiviti-aktiviti ter­sebut merupakan pelengkap bagi memperkukuhkan pengajaran dan pem­belajaran murid di bilik darjah.

 

Hal ini seiring dengan Anjakan Ketiga Pelan Pembangunan Pendi­dikan Malaysia 2013-2025 iaitu melahirkan rakyat yang meng­haya­ti nilai serta menekankan kepada pembangunan murid secara holistik dengan mengukuhkan keperluan penyertaan murid dalam aktiviti sukan dan kokurikulum.

Menurut Timbalan Ketua Pe­ngarah Pelajaran Sektor Operasi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Aminudin Adam, bagi melahirkan murid yang cemerlang dan kreatif dalam pelbagai aspek, pihaknya turut memper­kenalkan konsep pengantarabangsaan dalam pelaksanaan aktiviti kokurikulum.

Beliau berkata, an­taranya de­ngan menyediakan platform bagi murid-murid memperoleh pendedahan di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam pelbagai jenis pertandi­ngan seperti sukan, seni, sains dan teknologi.

“Antara pencapaian membang­gakan ialah apabila kontinjen World Robots Olympiad 2017 yang bertanding di Costa Rica, baru-baru ini berjaya meraih tempat kedua terbaik keseluruhan di dunia de­ngan membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan empat anugerah kecemerlangan.

“Selain itu, pa­sukan negara yang menyertai pertandingan akhir dunia 4x4 in Schools di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini mendapat tempat kedua pertandingan dan menaiki podium mengatasi 25 pasukan lain serta membawa pulang dua anugerah,” katanya, di sini baru-baru ini.

Turut meng­­ha­rumkan nama ne­gara ialah kecemerla­ngan pa­sukan F1 in Schools negara yang berjaya mendapat anugerah Inovasi Pemikiran Terbaik semasa per­tandingan akhir dunia F1 in Schools ketika Malaysia menjadi tuan rumah tahun ini, katanya.

Dalam bidang kesenian pula, Aminudin berkata, pasukan negara menerusi penyertaan muriddari Sekolah Seni Malaysia berjaya dinobatkan sebagai johan keseluruhan dalam Festival Mo­nolist di Costa Brava, Sepanyol.

Lebih membanggakan, kata­nya, ketika kejohanan Sukan Sea Ke-29 di Kuala Lumpur baru-baru ini, sebanyak 21 pingat emas, 10 perak dan tujuh gangsa disumbangkan oleh murid dari Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Terbaharu, katanya, atlet mu­da negara yang juga pemain boling Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Shahrukh Amin Zulkifli berjaya mengetepikan pemain lebih berpengalaman untuk memenangi kejuaraan pada pusingan akhir stepladder The Masters dalam Kejohanan Boling All-Stars Remaja Antarabangsa Milo kali ke-18 awal bulan ini.

Aminudin berkata, murid-murid SSM turut me­nyertai pelbagai kejohanan sukan lain antaranya Kejohanan Sekolah Asia Kesembilan; Kejohanan Hoki Sekolah Asia kali Kelima; Jelajah Berbasikal Eropah; Bola Jaring Remaja Dunia; Berbasikal Remaja Komanwel dan mendapat tempat keempat Kejohanan Bola Sepak Asia Bawah 18.

Beliau berkata, Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan turut menampilkan kejayaan membanggakan apabila lima buah sekolah terpilih menyertai pertandingan World Invention Creativity di Seoul Trade Exhibition and Convention di Seoul, Korea Selatan. Secara keseluruhan, Sekolah Alam Shah, Putrajaya berjaya merangkul empat emas dan dua perak serta dua anugerah khas pada pertandingan tersebut.

Aminudin berkata, turut tidak ketinggalan dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa ialah murid-murid aliran agama serta pendidikan teknik dan vokasional.

Katanya, murid da­ri Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) Kuala Lumpur mi­salnya berjaya mendapat tempat pertama dalam kategori kajian matematik paling kreatif bagi kesenian geometri Islam ketika menyertai Pameran Sains Pelajar Antarabangsa di Akademi Korea Selatan, Kaist Busan, Korea Selatan pada Jun lalu.

“Dalam Ekspo Harta Intelek, Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa Bangkok (IPITEx 2017) di Thailand, Februari lalu pula, murid Sekolah Menengah Agama (SMA) Daeratul Maarifil Wataniah 2, Pulau Pinang berjaya membawa pulang satu pingat emas, manakala SMA AlMadrasah Alawiyah Ad Diniah Perlis berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu gangsa.

“Bagi murid aliran teknik dan vokasional pula, dua murid kita masing-masing berjaya mendapat tempat pertama dan kedua dalam Pertunjukan Fesyen Tok­yo pada bulan lalu. Kejayaan ini membuktikan produk-produk yang dihasilkan oleh murid sekolah mampu melangkah lebih jauh,” katanya.

Aminudin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terutamanya swasta, ibu bapa dan komuniti yang telah memberi sokongan kepada murid-murid tersebut.

Beliau berkata, kementerian sentiasa mengalu-alukan perkongsian maklumat dan kemahiran daripada semua agensi sama ada kerajaan atau swasta bagi melengkapkan murid me­nuju ke arah kemahiran pem­belajaran abad ke-21.

Katanya, menerusi langkah itu setiap murid perlu dilengkapkan dengan enam aspirasi iaitu murid berpengetahuan, berkemahiran ber­fikir, berkemahiran me­mimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan berkerohanian, serta mempunyai identiti nasional.

 

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/kokurikulum-bawa-murid-ke-peringkat-antarabangsa-1.577478