Raja Noraina Raja Rahim
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

Nilai: Sesi persekolahan 2018 menyaksikan 446,694 murid tahun satu di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor (Kumpulan A) akan memulakan persekolahan pada Isnin manakala negeri lain (Kumpulan B) pada Selasa.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan murid dari tahun satu hingga tingkatan enam di seluruh negara berjumlah 4.7 juta orang.

 

Beliau berkata, bagi enrolmen murid prasekolah (usia 4+ dan 5+) di bawah Kementerian Pendidikan, dijangkakan seramai 207,680 kanak-kanak pada tahun depan.

 

Bagi sesi persekolahan tahun depan, Dr Amin berkata, sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah akan berubah sepenuhnya apabila penekanan tidak lagi diberikan terhadap pencapaian akademik semata-mata.

“Pengenalan Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mula dilaksanakan tahun ini serta Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR), sekolah perlu memberi tumpuan terhadap pendidikan secara menyeluruh.

“Berbanding sebelum ini, sekolah hanya memberi tumpuan terhadap pencapaian akademik melalui bilangan pelajar mendapat banyak A dalam peperiksaan. Ia bagi meningkatkan Gred Purata Sekolah (GPS) yang menjadi ukuran prestasi.

“Namun sekarang sekolah dan guru dilepaskan daripada GPS. Jadi tumpuan utama adalah memberi perhatian terhadap pelbagai aspek dan guru berpeluang mendidik pelajar dengan lebih baik serta menyeluruh,” katanya pada sidang media di Institut Aminuddin Baki di sini.

Dr Amin berkata, kementerian menitikberatkan pendidikan menyeluruh dalam pelbagai aspek termasuk kompetensi, kemahiran, karektor dan adab untuk mempersiapkan pelajar menempuh cabaran masa depan.

Jelasnya, perubahan juga perlu dilakukan dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan menekankan kaedah fun learning dan tidak terikat kepada pencapaian akademik.

“Ibu bapa lebih berpeluang mengenali kecenderungan dan potensi anak masing-masing dengan hasil pentaksiran yang dilaksanakan oleh pihak sekolah. Ibu bapa dapat menilai keupayaan anak mereka berbanding sebelum ini,” katanya.

Selain itu, Amin turut mengumumkan Cuti Pertengahan Penggal 1 selama seminggu akan bermula pada 16 Mac bagi negeri Kumpulan A dan 17 Mac (Kumpulan B), manakala Cuti Pertengahan Tahun selama dua minggu pula bermula 8 Jun (Kumpulan A) dan 9 Jun (Kumpulan B).

Cuti Pertengahan Penggal 2 selama seminggu akan bermula pada 17 Ogos (Kumpulan A) dan 18 Ogos (Kumpulan B) manakala Cuti Akhir Tahun bermula pada 23 November (Kumpulan A) dan 24 November (Kumpulan B).

Bagi cuti perayaan pula, kementerian memberi cuti tambahan bagi Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Deepavali manakala Aidilfitri dan Krismas dikecualikan kerana berada dalam Cuti Pertengahan Tahun serta Cuti Akhir Tahun.

Cuti Tahun Baharu Cina bagi Kumpulan A dan B ialah pada 15 hingga 19 Februari; Deepavali (Kumpulan A: 4 hingga 5 November) Kumpulan B kecuali Sabah, Sarawak dan Labuan (5 hingga 7 November); Pesta Kaamatan (Sabah dan Labuan sahaja) (28 Mei hingga 1 Jun); Hari Gawai (Sarawak saja) (30 hingga 31 Mei).

“Kementerian turut memperuntukkan Cuti Peristiwa selama empat hari setahun kepada sekolah yang memerlukan termasuk berkaitan penganjuran hari sukan dan seumpamanya, dengan kelulusan Pengarah Pendidikan Negeri, namun tidak boleh diambil untuk melanjutkan cuti penggal,” katanya.

Tambahnya, Guru Besar dan Pengetua juga mempunyai kuasa untuk menutup sekolah bagi suatu tempoh berikutan keadaan darurat atau bencana dengan syarat dimaklumkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri secara lisan serta bertulis dan cuti itu perlu diganti dengan hari lain.

 

https://www.hmetro.com.my/setempat/2017/12/297916/tekan-pendidikan-menyeluruh