MAHDZIR KHALID

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tiada gunanya Kementerian Pendidikan menggubal dasar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan merancang pelbagai inisiatif jika para guru tidak memahami polisi yang dibuat serta kaedah untuk melaksanakannya.

 

Beliau yang diberi tanggung jawab memegang jawatan Menteri Pendidikan bermula Julai 2015 berkata, bagi memastikan komunikasi berjalan dengan sempurna, beliau turut membuka seluas-luasnya platform media sosial untuk sesiapa sahaja memberi maklum balas secara beradab dan terbuka.

“Ada juga yang mempertikaikan tentang keperluan Pembelajaran Abad ke-21, sedangkan sekolah tidak mempunyai bekalan elektrik selain arahan terhadap guru-guru untuk menyiapkan kursus i-Think dalam talian.

“Saya faham kegusaran itu, dan tidak menyalahkan warga pendidik kerana bagi saya, ia berpunca daripada kurangnya maklumat yang betul disampaikan kepada mereka,” katanya melalui portal rasmi Menteri Pendidikan, portal.tokdet.my yang bertajuk Meniti Ambang 2018.

Jelas Mahdzir, masyarakat perlu memahami sepenuhnya hala tuju pendidikan dan kaedah untuk negara mencapainya dengan memanfaatkan sepenuhnya teknologi di sekeliling.

Katanya, komunikasi yang berkesan boleh berlaku dengan kaedah tersebut iaitu maklumat berjaya disampaikan manakala maklum balas diperoleh agar proses penambahbaikan dapat dilakukan secara berterusan.

Menurut beliau, hakikatnya banyak kejayaan dan pengiktirafan telah diraih dalam bidang pendidikan negara yang mungkin tidak diketahui oleh masyarakat umum.

“Semasa Mesyuarat Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Paris pada November lalu, saya terharu kerana usaha transformasi pendidikan di bawah PPPM 2013-2025 mendapat pujian daripada agensi antarabangsa itu.

“Kesemua kejayaan yang diraih sebenarnya perlu dikongsi kepada warga pendidik dan masyarakat umum supaya kerajaan dan Kementerian Pendidikan khususnya tidak terus menerima kritikan hanya kerana mereka ‘tidak tahu’ apa yang berlaku,” katanya.

 

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/mahdzir-kepentingan-komunikasi-dua-hala-1.581658