2 Januari, 2018

Kembali ke Sekolah


Selain daripada kemeriahan tahun baru, tidak kurang meriah juga adalah anak-anak kita, dari prasekolah hingga tingkatan 5, semua gembira kembali semula ke sekolah. Lebih-lebih lagi bagi yang kali pertama menjejakkan kaki ke bilik darjah, sama ada di peringkat tadika mahupun darjah 1.

Begitu juga dengan para guru, saya lihat begitu ramai yang melakukan lebih daripada tugasan mereka, atau going the extra mile, bagi menjadikan pengalaman hari pertama di sekolah sebagai pengalaman yang tak dapat anak-anak kita lupakan. Ada yang mengenakan pakaian adiwira, ada yang mengecat dan menghias semula kelas, dan bermacam-macam lagi.

Bercakap tentang para guru ini, saya teringat nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang yang saya kongsikan dalam ucapan Bajet 2018 lalu;

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,…
Menjadi seorang Perdana Menteri,… menjadi doktor,… menjadi peguam,…
Menjadi ahli politik,… menjadi akauntan,…

Hakikat,… sejarahnya dimula oleh seorang guru biasa,…
Dengan lembut dan sabar,…
Gurulah yang mengajar kita menulis dan membaca.

Syabas kepada guru-guru yang cukup berdedikasi dalam mendidik anak-anak kita.

Dalam Bajet 2018, Kerajaan memperuntukkan dana besar bagi Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM45.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan. Ini termasuk bagi menyediakan bantuan persekolahan kepada lebih 5.2 juta murid di seluruh negara.

Hari ini sebenarnya pendidikan di peringkat rendah dan menengah adalah percuma, dengan Kerajaan membelanjakan pada purata RM8,900 bagi setiap murid setahun.

Kalau dahulu, ibu bapa dibebankan dengan yuran wajib bayar, daripada yuran khas hinggalah bayaran tambahan persekolahan.

Kesemua yuran ini telah dimansuhkan. Yang tinggal kini cuma sumbangan mengikut keperluan kepada sekolah.

Kalau dahulu juga, pinjaman buku teks hanya diberikan mengikut taraf pendapatan ibu bapa, kini ia diberikan kepada semua pelajar.

Tambahan kepada itu, kita turut menyediakan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 kepada keluarga berpendapatan rendah, yang memanfaatkan 3.2 juta murid.

Selain daripada itu, Kerajaan juga terus menyediakan dana bagi menambahbaik dan menyelenggara sekolah-sekolah agar anak-anak kita dapat belajar dalam suasana kondusif dan ceria.

Dalam Bajet 2018, sebanyak RM550 juta disediakan bagi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil, Sekolah Mubaligh, Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan bagi tujuan tersebut.

Malah lebih daripada itu, dalam Bajet 2018 juga saya turut mengumumkan peruntukan terbesar bernilai RM2.5 bilion bagi membaiki dan membina semula sekolah-sekolah daif di seluruh negara menggunakan kaedah IBS atau Industrial Building System.

Kerajaan Barisan Nasional sentiasa menekankan kepentingan pendidikan. Sejak dahulu lagi, kita telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan anak-anak kita, tak kira apa latar belakang keluarga mereka, mampu mempunyai akses kepada pendidikan.

Secara purata, perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah dua kali ganda berbanding perbelanjaan negara ASEAN, mengukuhkan lagi kenyataan betapa Kerajaan Barisan Nasional telah dan akan sentiasa menitikberatkan bidang pendidikan untuk rakyat Malaysia.

 

https://www.najibrazak.com/bm/blog/kembali-ke-sekolah-2/