Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, semua warga pendidikan perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan menerusi surat siaran Bilangan 10, Tahun 2017 iaitu Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan tahun 2018.

 

“Kita (kementerian) memohon tiada pelanggaran kepada arahan surat pekeliling berkenaan bagi membolehkan semua warga pendidik menikmati cuti Tahun Baharu Cina seperti yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Veteran ATM cawangan Padang Terap di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP) hari ini yang memohon Kementerian Pendidikan untuk campur tangan mengenai aduan diterima kesatuan itu daripada beberapa guru dan pensyarah bahawa ketua jabatan mereka mengeluarkan arahan bertentangan dengan surat siaran tersebut.

Menurutnya, arahan itu dikeluarkan setelah perkara tersebut dibincangkan dan dipersetujui pada mesyuarat Penyediaan Takwim Persekolahan kementerian.

“Ia jelas menyatakan bahawa semua pihak yang terlibat perlu akur dengan arahan itu,” katanya.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan, kementerian menetapkan 15 dan 19 Februari (Khamis dan Isnin) sebagai cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

 

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/patuhi-arahan-cuti-tahun-baharu-cina-8211-mahdzir-1.606818