Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, bilangan calon STPM 2017 yang mendapat PNGK 3.50 ke atas bertambah kepada 6,408 calon berbanding 6,137 calon pada tahun sebelumnya.

 

Katanya, bagaimanapun jumlah calon memperoleh PNGK 4.00 mencatatkan sedikit penurunan daripada 565 calon pada 2016 kepada 485 pelajar.

“Jumlah calon STPM 2017 mendapat PNGK 3.00 ke atas turut meningkat daripada 16,263 orang pada 2016 kepada 17,423 pelajar manakala bagi memperoleh PNGK 2.75 ke atas, bertambah kepada 23,752 orang.

“Dengan peningkatan calon yang mendapat PNGK 2.75 ke atas, saya menjangkakan peluang lepasan STPM 2017 untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar,” katanya ketika meng­umumkan keputusan STPM 2017 di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Mustafa memberitahu, sebanyak 19 calon STPM 2017 mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran, manakala bilangan calon tingkatan enam mengambil lima subjek tetapi mendapat 4A pula 68 orang.

Menurut beliau, peratusan calon yang lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat 72.02 peratus berbanding 71.88 peratus ketika 2016.

Tambahnya, jumlah calon lulus penuh dalam empat mata pelajaran memperoleh peratusan tertinggi dalam STPM 2017 adalah sebanyak 29,081 pelajar.

“Calon sekolah kerajaan mencatatkan peratusan tertinggi yang lulus penuh lima dan empat mata pelajaran berbanding pelajar sekolah swasta, persendirian individu dan sekolah kerajaan negeri iaitu masing-masing 30,846 calon, 142 calon, 10 calon dan empat calon.

“Ia memberikan gambaran pencapaian pelajar sekolah kerajaan kini semakin baik ekoran hasil pelaksanaan Pemerkasaan Tingkatan Enam yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Selain itu, Mohamed Mustafa memaklumkan, perbezaan jurang pencapaian calon STPM 2017 bandar dan luar bandar berban­ding tahun sebelumnya semakin merapat daripada 0.09 kepada 0.03 mata.

“Secara keseluruhannya, ke­semua 22 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2017 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus iaitu gred C dan ke atas,” jelas beliau.

 

http://m.utusan.com.my/berita/nasional/pencapaian-keseluruhan-stpm-2017-meningkat-1.622333