KURIKULUM STANDARD PRASEKOLAH KEBANGSAAN (KSPK) (SEMAKAN 2017)

 

1. Apakah tujuan Pendidikan Prasekolah?

Pendidikan prasekolah bertujuan memperkembangkan potensi murid berumur 4-6 tahun secara menyeluruh dan bersepadu, meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif agar murid bersedia untuk menghadapi cabaran serta mengikuti pembelajaran seterusnya.

2. Berapakah umur kanak-kanak yang menyertai tadika?

Tadika adalah untuk kanak-kanak yang berumur 4-6 tahun.

3. Adakah semua tadika perlu mengguna pakai KSPK (Semakan2017)?

Semua tadika dalam sistem Pendidikan Kebangsaan perlu menggunakan KSPK (Semakan 2017).

4. Mengapa semua tadika perlu mengguna pakai KSPK (Semakan 2017)?

Ini adalah berdasarkan Akta Pendidikan 1996, yang menetapkan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan hendaklah digunakan oleh semua tadika.

5. Adakah tadika boleh melaksanakan program tambahan?

Berdasarkan peruntukan dalam Akta Pendidikan 1996, tadika boleh melaksanakan program tambahan kepada kurikulum Prasekolah Kebangsaan selepas mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pendaftar.

6. Berapakah peruntukan masa minimum di tadika?

Peruntukan masa minimum di tadika ialah sekurang-kurangnya 240 minit sehari untuk kanak-kanak yang berumur 5+ tahun dan 210 minit sehari untuk kanak-kanak yang berumur 4+ tahun.

7. Siapakah yang mengajar Pendidikan Islam di tadika?

Pendidikan Islam di tadika diajar oleh guru Pendidikan Islam yang bertauliah sekurang-kurangnya 120 minit seminggu.

8. Adakah Pendidikan Moral diajar jika tadika tidak mempunyai atau mempunyai kurang daripada 5 orang murid beragama Islam?

Pendidikan Moral boleh diajar mengikut masa yang diperuntukan untuk Pendidikan Moral ataupun disepadukan dalam pembelajaran. Peruntukan masa bagi Pendidikan Moral ditambah dalam Pembelajaran Bersepadu.

9. Kenapa peruntukan waktu bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil dalam KSPK (Semakan 2017) dikurangkan daripada 90 minit seminggu ke 60 minit seminggu?

Peruntukan waktu 60 minit seminggu adalah untuk murid mempelajari kemahiran asas bahasa. Walau bagaimanapun Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil juga dipelajari pada masa Pembelajaran Bersepadu.

10. Kenapa peruntukan waktu bagi Matematik Awal hanya 40 minit seminggu?

Peruntukan waktu 40 minit seminggu adalah mencukupi kerana waktu tersebut diperuntukan untuk murid mempelajari kemahiran asas matematik.Matematik Awal juga dipelajari semasa Pembelajaran Bersepadu.

11. Kenapakah operasi tambah dan tolak dalam Matematik Awal hanya dalam lingkungan 18?

Operasi tambah dan tolak dalam Matematik Awal hanya dalam lingkungan 18 kerana 18 merupakanfakta asas bagi operasi tambah dan tolak.

12. Bolehkah Aktiviti Luar dijalankan di dalam kelas?

Aktiviti Luar bermaksud aktiviti yang dijalankan di luar kelas. Walau bagaimanapun kelonggaran diberikan jika tadika tidak mempunyai ruang yang sesuai untuk menjalankan aktiviti di luar kelas atau dalam keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

13. Bolehkah Aktiviti Fizikal dan Main Bebas dilaksanakan pada hari yang sama?

Aktiviti Fizikal dan Main Bebas tidak boleh dilaksanakan pada hari yang sama. Walau bagaimanapun,Aktiviti Fizikal atau Main Bebas perlu dilaksanakan setiap hari.

14. Apakah yang dimaksudkan dengan Main Bebas?

Main Bebas ialah aktiviti yang memberi kebebasan kepada murid untuk membuat pilihan tentang apa, bagaimana dan tempoh masa untuk bermain. Mereka juga bebas untuk menentukan peraturan dan peranan semasa bermain.

15. Apakah peranan guru semasa Main Bebas?

Guru berperanan sebagai perancang, fasilitator, play partner dan pemerhati. Guru juga perlu bijak menyediakan persekitaran supaya Main Bebas berkesan dan bermakna.

16. Apakah pengisian waktu rehat?

Waktu rehat diperuntukkan untuk murid prasekolah makan dan minum serta merehatkan minda dan fizikal mereka. Waktu rehat juga boleh dimanfaatkan dengan melibatkan murid dalam membantu penyediaan makanan dan tempat makan. Selain daripada itu, aspek pengurusan diri, adab makan dan pemakanan yang sihat serta seimbang perlu diberi penekanan semasa rehat. Waktu rehat merupakan sebahagian daripada waktu PdP.

17. Apakah aktiviti rutin?

Aktiviti rutin ialah aktiviti yang dijalankan pada setiap hari dan diberi peruntukan waktu yang khusus. Aktiviti ini merangkumi perbualan awal, rehat dan aktiviti penutup.

18. Apakah yang boleh dilaksanakan semasa perbualan awal?

Semasa perbualan awal, murid dibimbing untuk berkomunikasi secara berhemah melalui soal jawab antara guru-murid dan rakan sebaya. Murid digalakkan untuk menyuarakan pendapat/idea, mengemukakan cadangan serta berkongsi pengalaman dan pengetahuan baru.

19. Adakah perlu menulis Rancangan Pelajaran Harian (RPH)untuk Perbualan Awal?

RPH untuk Perbualan Awal tidak perlu ditulis kerana objektif Perbualan Awal adalah sama setiap hari iaitu untuk menyediakan murid dari aspek mental dan emosi supaya dapat mengikuti pembelajaran pada hari tersebut dengan lebih berfokus.

20. Apakah fungsi pusat pembelajaran?

Pusat pembelajaran berfungsi sebagai satu ruang yang kondusif untuk murid melaksanakan aktiviti sama ada secara berstruktur atau bebas.

21. Apakah rasionalnya pusat pembelajaran diwujudkan dalam tadika?

Pusat pembelajaran memberi peluang kepada murid untuk meneroka, mencuba dan berinteraksi dengan peralatan dan persekitaran mengikut minat dan kadar pembelajaran masing-masing secara bebas atau terancang. Pusat pembelajaran membantu memudahkan perancangan dan pelaksanaan aktiviti PdP di tadika.

22. Adakah RPH perlu ditulis setiap hari jika menggunakan strategi PdP di pusat pembelajaran?

RPH tidak perlu ditulis setiap hari jika menggunakan strategi PdP di pusat pembelajaran. Guru perlu menyediakan RPH untuk suatu tempoh seperti yang dirancang.

23. Bagaimanakah pentaksiran prasekolah dilaksanakan?

Pentaksiran prasekolah dilaksanakan melalui pemerhatian secara berterusan untuk mengesan pertumbuhan dan perkembangan menyeluruh murid. Biasanya pentaksiran dijalankan dalam keadaan yang tidak formal dan secara tidak langsung.

24. Mengapakah ujian atau peperiksaan tidak dijalankan di tadika?

Kaedah pentaksiran di prasekolah adalah melalui pemerhatian yang berterusan dan penilaian hasil kerja. Ujian atau peperiksaan formal tidak harus dilaksanakan.

25. Mengapakah perlunya transisi semasa pelaksanaan PdP tadika?

Transisi merupakan satu proses peralihan atau perubahan yang berlaku dari satu keadaan kepada satu keadaan yang lain.Transisi bertujuan bagi menyediakan murid dari aspek kognitif, afektif dan psikomotor sebelum memulakan proses PdP seterusnya.

26. Mengapakah penggunaan buku kerja tidak digalakkan di tadika?

Penggunaan buku kerja tidak digalakkan di tadika kerana murid belajar dan memperoleh pengetahuan serta kemahiran melalui pelbagai aktiviti pembelajaran seperti aktiviti bermain,hands-on dan penerokaan persekitaran. Buku kerja biasanya berfokus kepada latihan bertulis dan berperanan sebagai bahan sokongan sahaja.

27. Siapakah yang sesuai menggantikan guru tadika untuk mengajar jika guru tadika cuti/berkursus/menghadiri mesyuarat?

Guru yang mengajar di tahap satu boleh menggantikan guru tadika untuk mengajar.

28. Adakah Pembantu Pengurusan Murid boleh menggantikan guru tadika untuk mengajar jika guru tadika cuti/berkursus/bermesyuarat?

Pembantu Pengurusan Murid tidak boleh menggantikan guru tadika untuk mengajar. Mereka hanya boleh membantu semasa proses PdP sahaja.

29. Di mana saya boleh dapatkan KSPK (Semakan 2017)?

KSPK (Semakan 2017) boleh dimuat turun daripada laman web http://bpk.moe.gov.my 

 

 

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR) (SEMAKAN 2017)

Aliran Perdana

 

1. Mengapa KSSR disemak semula?

KSSR disemak semula bagi mengambil kira saranan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025. KSSR yang telah dilaksanakan pada tahun 2011. telah melalui satu pusingan pelaksanaan pada tahun 2016. KSSR yang disemak semula memberi fokus kepada saranan PPPM 2013-2025 seperti berikut:

· 6 aspirasi murid

· Kemahiran Abad ke-21

· Perpaduan dan keharmonian kaum

· Kemahiran komunikasi

2. Apakah ciri-ciri murid selepas melalui KSSR (Semakan 2017)?

Murid yang mengikuti KSSR (Semakan 2017) akan mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

· Kemahiran berfikir

· Komunikasi

· Kerja sepasukan

· Kepimpinan fleksibel

· Berinisiatif dan terarah kendiri

· Teknologi maklumat dan komunikasi

· Keusahawanan

· Belajar sepanjang hayat

· Kebolehan menyesuaikan diri

3. Apakah kelebihan memperuntukkan waktu mata pelajaran mengikut jam setahun dalam pelaksanaan KSSR (Semakan 2017)?

· memberi keluwesan kepada pentadbir menyusun jadual waktu mengikut kesesuaian dan keperluan sekolah.

· membolehkan guru merancang dan melaksanakan pembelajaran secara lebih mendalam dengan mengaplikasikan KBAT melalui pendekatan inkuiri.

· membolehkan murid mendapat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pembelajaran yang lebih mendalam dan bermakna.

4. Mengapa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) tidak ditawarkan sebagai mata pelajaran di bawah KSSR (Semakan 2017)?

TMK masih ditawarkan tetapi dilaksanakan secara merentas kurikulum menggunakan modul tambahan di bawah Elemen Merentas Kurikulum (EMK).

5. Bagi KSSR (Semakan 2017) adakah Pentaksiran Sekolah (PS) dilaksanakan secara atas talian?

PS bagi murid Tahun 1 bermula 2017 akan dilaksanakan secara luar talian (offline) sepenuhnya.

6. Apakah saluran yang disediakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan KSSR (Semakan 2017)?

· Laman web BPK (http://bpk.moe.gov.my)

· Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Pembangunan Kurikulum)

· Jabatan Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Akademik)

· Pejabat Pendidikan Daerah (Unit Akademik)

 

 

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR) (SEMAKAN 2017)

Aliran Pendidikan Khas

 

1. Mengapa KSSR Pendidikan Khas disemak semula?

KSSR Pendidikan Khas disemak semula bagi mengambil kira saranan yang terkandung dalam PPPM 2013-2025. KSSR Pendidikan Khas yang telah dilaksanakan pada tahun 2011 telah melalui satu pusingan pelaksanaan pada tahun 2016. KSSR Pendidikan Khas yang disemak semula memberi fokus kepada saranan PPPM 2013-2025 seperti berikut:

· 6 aspirasi murid

· Kemahiran Abad ke-21

· Perpaduan dan keharmonian kaum

· Kemahiran komunikasi

2. Apakah kelebihan memperuntukkan waktu mata pelajaran mengikut jam setahun dalam pelaksanaan KSSR Pendidikan Khas (Semakan 2017)?

· memberi keluwesan kepada pentadbir menyusun jadual waktu mengikut kesesuaian dan keperluan sekolah.

· membolehkan guru merancang dan melaksanakan pembelajaran secara mendalam dengan mengaplikasikan KBAT melalui pendekatan inkuiri.

· membolehkan murid mendapat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pembelajaran yang bermakna.

3. Mengapa TMK tidak ditawarkan sebagai mata pelajaran KSSR Pendidikan Khas (Semakan 2017) kepada MBK kategori Ketidakupayaan Penglihatan dan Ketidakupayaan Pendengaran?

TMK tidak ditawarkan sebagai mata pelajaran kepada MBK Ketidakupayaan Penglihatan dan Ketidakupayaan Pendengaran kerana ia dilaksanakan secara merentas kurikulum menggunakan modul tambahan di bawah EMK selaras dengan KSSR (Semakan 2017).

4. Bagi KSSR Pendidikan Khas (Semakan 2017) adakah Pentaksiran Sekolah (PS) dilaksanakan secara atas talian?

PS bagi murid Tahun 1 bermula 2017 akan dilaksanakan secara luar talian (off line) sepenuhnya.

5. Apakah ciri -ciri Pembelajaran Abad ke-21

· Kemahiran berfikir

· Komunikasi

· Kerja sepasukan

· Kepimpinan Fleksibel

· Berinisiatif dan terarah kendiri

· Teknologi maklumat dan komunikasi

· Keusahawanan

· Belajar sepanjang hayat

· Kebolehan menyesuaikan diri

· Teknologi maklumat dan komunikasi

6. Apakah saluran yang disediakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan KSSR Pendidikan Khas (Semakan 2017)?

· Laman web BPK (http://www.bpk.moe.gov.my)

· Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Pembangunan Kurikulum)

· Jabatan Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Akademik dan Sektor Pendidikan Swasta & Pendidikan Khas)

· Pejabat Pendidikan Daerah (Unit Akademik)

 

 

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH MENENGAH (KSSM)

Aliran Perdana

 

1. Apakah KSSM dan bila dilaksanakan?

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) adalah kurikulum persekolahan yang dilaksanakan di semua sekolah menengah. KSSM akan menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). KSSM akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat di sekolah menengah bermula dengan murid Tingkatan 1 mulai 2017.

2. Mengapa KSSM diperkenalkan?

KSSM diperkenalkan kerana terdapat keperluan untuk menjadikan Kurikulum Kebangsaan lebih holistik dan relevan dengan keperluan abad ke-21 bagi melahirkan modal insan yang berfikiran kritis, kreatif dan inovatif serta mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara dan berdaya saing di peringkat antarabangsa dan global.

3. Apakah maksud kurikulum standard?

Kurikulum standard adalah kurikulum yang dibangunkan mengikut suatu set kriteria yang ditetapkan berdasarkan peringkat persekolahan. Kurikulum Standard diterjemahkan melalui Standard Kandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi.

4. Apakah dokumen yang digunakan bagi melaksanakan kurikulum semua mata pelajaran di bawah KSSM?

Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

5. Apakah ciri-ciri murid yang dihasratkan selepas melalui KSSM?

Murid yang mengikuti KSSM akan mempunyai ciri-ciri yang dihasratkan seperti berikut:

· Kemahiran berfikir

· Komunikasi

· Kerja sepasukan

· Kepimpinan Fleksibel

· Berinisiatif dan terarah kendiri

· Teknologi maklumat dan komunikasi

· Keusahawanan

· Belajar sepanjang hayat

· Kebolehan menyesuaikan diri

6. Adakah KSSM mengekalkan semua prinsip KBSM?

Semua prinsip KBSM dikekalkan dalam pelaksanaan KSSM. Prinsip tersebut adalah:

· Kesinambungan Pendidikan rendah dengan pendidikan menengah.

· Pendidikan umum untuk semua murid.

· Penggunaan disiplin ilmu yang ada.

· Kesepaduan antara unsur intelek, rohani, emosi dan jasmani.

· Penekanan nilai murni.

· Peningkatan penggunaan Bahasa Melayu.

· Pendidikan sepanjang hayat.

7. Apakah yang dimaksudkan dengan Elemen Merentas Kurikulum (EMK)?

EMK ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam PdP selain yang ditetapkan dalam Standard Kandungan. Elemen ini diterapkan bertujuan mengukuhkan kemahiran dan
keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat menangani cabaran semasa dan masa hadapan.

8. Bagaimanakah EMK dilaksanakan dalam PdP?

EMK disepadukan dalam PdP mengikut kesesuaian topik dan mata pelajaran seperti yang dijelaskan dalam DSKP dan buku panduan EMK.

9. Bolehkah pihak pentadbir sekolah mengurangkan peruntukan waktu mata pelajaran yang telah ditetapkan?

Pihak pentadbir sekolah perlu mematuhi peruntukan waktu minimum jam setahun seperti yang ditetapkan bagi setiap mata pelajaran.

10. Bolehkah sekolah menggunakan peruntukan waktu minumum jam setahun bagi kelas KBSM?

BOLEH. Sekolah digalakkan menggunakan peruntukan minimum jam setahun untuk memudahkan pengurusan dalam aspek penjadualan waktu PdP.

11. Apakah maksud Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Sekolah (PS)?

PBS merupakan satu bentuk pentaksiran bersifat holistik menilai aspek kognitif, afektif dan psikomotor. PBS mengandungi 4 komponen iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). PS merupakan satu komponen dalam PBS. PS adalah pentaksiran yang dilaksanakan secara berterusan dalam bentuk formatif atau sumatif di peringkat sekolah.

12. Mengapa PS penting?

PS penting kerana maklumat yang diperoleh daripada PS akan digunakan oleh pihak sekolah dan ibu bapa dalam merancang tindakan susulan ke arah peningkatan perkembangan pembelajaran murid.

13. Bagaimana PS dilaksanakan?

PS dilaksanakan sepanjang tahun dan direkodkan dengan menggunakan templat perekodan PS secara luar talian (off line) melalui 3 (tiga) kaedah:

· Pemerhatian,

· Tugasan

· Ujian/ Peperiksaan

14. Berapa kerap PS perlu dilaporkan?

Minimum 2 (dua) kali setahun.

15. Bilakah PS dilakukan?

Semasa dan selepas proses PdP.

16. Apakah perbezaan PS dalam KSSM dengan PS dalam KBSM?

Bagi murid Tingkatan 1 KSSM 2017 perekodan tahap penguasan murid dilaksanakan secara luar talian (off line) berpandukan Standard Prestasi dalam DSKP. Murid Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 yang mengikuti KBSM masih menggunakan PanduanPerkembangan Pembelajaran Murid.

17. Apakah saluran yang disediakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan KSSM?

· Laman web BPK (http://bpk.moe.gov.my)

· Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Pembangunan Kurikulum)

· Jabatan Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Akademik)

· Pejabat Pendidikan Daerah (Unit Akademik)

 

 

KURIKULUM STANDARD SEKOLAH MENENGAH (KSSM)

Aliran Pendidikan Khas

 

1. Apakah yang dimaksudkan dengan KSSM Pendidikan Khas?

Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Pendidikan Khas adalah kurikulum yang direka bentuk khusus untuk murid berkeperluan khas (MBK) selaras dengan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013. Kurikulum ini dilaksanakan di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK). KSSM Pendidikan Khas akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula dengan murid Tingkatan 1 mulai 2017.

2. Siapakah yang mengikuti KSSM Pendidikan Khas?

KSSM Pendidikan Khas boleh diguna pakai oleh semua murid berkeperluan khas (MBK) yang berada di tahap kefungsian sederhana dan rendah. MBK berkefungsian tinggi yang berada di Program Inklusif akan mengikuti KSSM. Walau bagaimanapun, mereka juga dibenarkan memilih untuk mengikuti KSSM Pendidikan Khas.

3. Mengapakah KSSM Pendidikan Khas diperkenalkan?

KSSM Pendidikan Khas diperkenalkan bagi menyediakan ruang dan peluang kepada MBK untuk menguasai kemahiran vokasional ke arah mencapai matlamat kurikulum seiring dengan Kurikulum Kebangsaan. Ia juga bermatlamat untuk menghasilkan MBK yang berkemahiran dan mampu berdikari.

4. Berapakah umur minimum dan maksimum untuk murid mengikuti KSSM Pendidikan Khas ini di tingkatan satu?

Murid yang mengikuti KSSM Pendidikan Khas di tingkatan 1 berumur antara 13 hingga 15 tahun.

5. Berapakah jumlah murid dalam satu-satu kelas?

Bilangan murid bagi setiap kelas bergantung kepada norma perjawatan yang ditetapkan.

6. Apakah dokumen yang digunakan bagi melaksanakan kurikulum semua mata pelajaran di bawah KSSM Pendidikan Khas?

Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP)

7. Apakah maksud Standard Kandungan, Standard Pembelajaran Standard Prestasi dan kriteria pencapaian yang terdapat dalam dokumen DSKP KSSM Pendidikan Khas?

Kurikulum standard adalah kurikulum yang dibangunkan mengikut suatu set kriteria yang ditetapkan berdasarkan peringkat persekolahan. Kurikulum Standard diterjemahkan melalui StandardKandungan, Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi. Kriteria pencapaian pula adalah kenyataan yang mengkhususkan apa yang perlu ditaksir dan tahap pencapaian yang diperlukan. Kriteria pencapaian juga merupakan set sub-kompetensi minima yang perlu dicapai oleh murid bagi mencapai standard pembelajaran dan standard kandungan.

8. Adakah KSSM Pendidikan Khas mengekalkan semua prinsip KBSM?

Semua prinsip KBSM dikekalkan dalam pelaksanaan KSSM Pendidikan Khas.

9. Apakah aspek pembaharuan dalam KSSM Pendidikan Khas?

· Peruntukan masa bagi setiap mata pelajaran adalah berasaskan jam seminggu.

· Penggunaan DSKP bagi menggantikan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran.

· Penggunaan bahan sokongan Bahan Pengajaran Bertulis Written Instructional Materia (WIM) bagi subjek kemahiran.

· Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dieksplisit dalam standard pembelajaran.

· MBK boleh memperolehi pengiktirafan melalui persijilan dari badan professional.

· Perkembangan pembelajaran murid ditaksir secara berterusan.

10. Apakah kelebihan memperuntukkan waktu mata pelajaran mengikut jam setahun dalam pelaksanaan KSSM Pendidikan Khas?

· memberi keluwesan kepada pentadbir menyusun jadual waktu mengikut kesesuaian dan keperluan sekolah.

· membolehkan guru merancang dan melaksanakan pembelajaran secara mendalam dengan mengaplikasikan KBAT melalui pendekatan inkuiri.

· membolehkan murid mendapat pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pembelajaran yang bermakna.

11. Apakah saluran yang disediakan bagi mendapatkan maklumat berkaitan KSSM Pendidikan Khas?

· Laman web BPK (http://www.bpk.moe.gov.my)

· Kementerian Pendidikan Malaysia (Bahagian Pembangunan Kurikulum)

· Jabatan Pendidikan Negeri (Sektor Pengurusan Akademik)

· Pejabat Pendidikan Daerah (Unit Akademik)